Monday, January 14, 2013

Pengalaman di Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 2013 Part 1

Assalamualaikum wth.

Semalam adalah antara hari terpenting dalam hidup saya. Saya yang kempunan tiga siri perhimpunan Bersih terdahulu, nekad untuk ikut serta dalam rapat umum gergasi, Himpunan Kebangkitan Rakyat Kuala Lumpur 12 Januari 2013 (HKR KL112). Walaupun ibu sangat risau perhimpunan ini akan dicemari dengan provokasi dari pihak polis dan FRU, hati ini memang dah tekad mahu menjadi salah seorang tenaga jati HKR KL112 kali terakhir sebelum gelanggang PRU 13 Mac berlangsung.

Malam sebelum HKR112, saya sudah berjanji untuk bertemu dengan Kak Zatul di KL Sentral melalui Facebook. Dia memang PemBersih tegar sejak siri pertama dulu. Memandangkan saya bukanlah pakar sangat jalan di KL, dia menawarkan supaya berarak bersama. Tiada yang lebih baik. Saya setuju. Daripada menyusahkan diri di tengah Kota Gila itu nanti, lebih baik ambil jalan selamat. Kami memilih check point KL Sentral untuk baju kuning, wakil pendemo Bersih sebelum berakhir di Stadium Merdeka. Malam itu juga, saya ke Tesco Semenyih cari baju. Perhimpunan Rakyat bersama PM pun akan diadakan  di situ  bersamaan tarikh HKR112 esok. Dapat baju kuning kosong, RM12 sehelai sempena promosi sempena CNY. Kad Touch N Go pun di top-up sebab esok train pasti sesak orang nak beli tiket. Jalan selamat lagi.

Jam 11 malam, mata tak mahu pejam. Tabiat saya bila terlalu semangat, eksaited atau terlalu nervous memang susah nak lelap. Pukul 2 pagi bawak ke 4 pagi. Tengok facebook, manusia dah sedia membanjiri KL sejak semalam. Dada macam nak meletup terlalu teruja. Kali pertama katakan. Jam 5.30 pagi, saya bersiap. Kejut ibu ayah solat subuh. Ibu gorengkan mi untuk sarapan. Paling comel, walaupun ibu menegah pergi, dia juga yang sediakan mi goreng buat bekal makan tengahari di KL nanti. Hati memang sayu dan terharu. Sayang ibu. Genderang di dada semakin hebat. Jam 6.30 pagi, saya memecut motor Lagenda yang tidaklah selagenda mana itu ke Stesen KTM Batang Benar. Kabus subuh itu seolah-olah terkandung semangat dari Stadium Merdeka. Udara yang cukup menyegarkan paru-paru.

Saya terfikir, mungkin terlalu awal ke KL. Takut bersesak dan malas bersesak, saya teruskan juga rancangan. Tetapi, bila tiba di stesen KTM, sekumpulan lelaki muda berbaju kuning dan merah dan beberapa gadis bertudung labuh sudah pun tercegat menunggu keretapi. Alhamdulillah, hati lega dan membara dalam masa yang sama. Keretapi bertolak jam 7.22 pagi. Setiap stesen pasti ada peserta perhimpunan. Kami seolah sudah lama kenal dan berbual. Hati seolah terikat. Indah sungguh perasaan itu. Sudah lama saya tidak merasakannya semenjak pulang dari Maghribi April lepas. Paling menarik, sekumpulan gadis di dalam tren, pelajar universiti barangkali, khusyuk menyiapkan poster menggunakan "Manila Kad" untuk perhimpunan. Tersenyum melihat gelagat dan semangat diorang.

Saya tiba di KL Sentral jam 8.15 pagi. Sangat awal! Namun pejuang-pejuang hak rakyat sudah berlegar-legar di ruang legar stesen. Saya ke tandas. Penuh! Ada yang sedang menyalin baju tema perhimpunan masing-masing. Anggota polis tidak kurang ramai yang sedang bersiap untuk bertugas. Setelah selesai, saya menunggu Kak Zatul di medan selera. Bersarapan bersama sepasukan Unit Amal dan beberapa anggota NGO Orang Asal/Asli. Jam 10.30 pagi, Kak Zatul menghantar sms. Dia sudah tiba dan menunggu di hadapan McD. Bergegas saya turun dan mencari. Saya disapa oleh seorang akak cantik. Kak Zatul. Dan kawan baiknya, juga kawan baru saya, Kak Siti Hajar. Juga pemBersih tegar. HAHA. Oh, kalau nak tahu saya belum pernah bersemuka dengan Kak Zatul. Kenal pun sebab dia ke Maghribi tahun lepas melalui blog ini. Kawan saya di wilayah lain yang membawanya jalan. Kami tak sempat berjumpa ketika itu kerana peperiksaan. Alhamdulillah, jodoh kami dengan HKR112. Mereka berdua SANGAT bersemangat dan happy go lucky. Maksud saya, SANGAT happy go lucky!  Saya pula yang kelihatan SANGAT kedunguan. Oh, malunya.

Kak Zatul(kiri) dan Kak Hajar(kanan). Sepanduk tu NGO Org Asal punya. Unit Amal bagi. 



Tepat jam 11 pagi, Unit Amal memberi taklimat akhir dan mengumumkan check point KL Sentral akan mula berarak. Hujung telinga saya sayup mendengar gendang perang ghaib bertabuh kuat meniup semangat dalam dada. Tambah memberi semangat, makcik-makcik berusia yang sepatutnya berehat dirumah menjaga cucu, turun menyumbang tenaga memberi sokongan padu kepada tuntutan HKR112. Saya doakan agar Allah memelihara mereka dari segala kesulitan. Risau juga jika FRU dan pihak polis buka langkah nanti. Bagaimana nasib mereka yang berusia ini? Tapi saya percaya semangat mereka menjulang tinggi, setinggi KLCC. Kami bergerak aman. Kumpulan KL Sentral kelihatan tidaklah seramai mana pada mulanya. Hati sedikit berkata-kata. Namun, beberapa ketika, semakin ramai pejuang-pejuang yang tidak diketahui dari mana munculnya, berkumpul membentuk tembok-tembok perkasa. Bulu roma saya berdiri tatkala bacaan doa di kepalai oleh Unit amal dan laungan takbir bergema memulakan perarakan menuntut kebenaran pagi itu. Langkah kami sederap dan gagah.

Unit Amal diberi taklimat akhir.

Bacaan doa oleh Unit Amal. Banyak sungguh amal mereka hari tu.

Mereka hanya mahukan yang terbaik. You have my very respect.

HKR112 guide saya yang cool. Sangat prihatin dengan insan tiada pengalaman macam saya.
Kan bagus polis baik begini. Jaga keamanan. You have my respect too Mr. Cop.
Barisan hadapan. Pemuda dan gadis-gadis belia manis bertudung itu dari Kemaman. Baru tiba pagi tadi.

Sejuk hati. Senyum pun tutup mulut. Kalau saya ketawa, nauzubillah

Semangat di barisan hadapan dipimpin oleh Unit Amal.
Lebih kurang 15 minit, kami tiba Jalan Tun Sambanthan berdekatan air pancut. Kami disambut sekumpulan besar pejuang-pejuang HKR112 yang telah sedia menunggu. Disambut dengan laungan semangat yang gegak gempita dan tepukan gemuruh, menjadikan saya lebih teruja. Kelompok itu dipimpin beberapa Ahli Parlimen, wakil NGO dan aktivis seperti YB Kulasegaran, Maria Chin, Kartunis Zunar dan Faizal wakil NGO OKU Bangkit. Sementara menunggu Kumpulan Mahasiswa dari UM, mereka  memberi ucapan penuh semangat. Kelihatan juga pelancong asing yang turut serta berhimpun memberikan sokongan. Tidak kurang yang teruja menyaksikan fenomena HKR112 ditengah-tengah nadi Malaysia. Kereta-kereta yang lalu lalang membunyikan hon dan tidak lekang mengangkat thumbs up tanda sokongan padu walaupun tidak menyertai perhimpunan.

Tiba di Jalan Brickfields-Tun Sambanthan

Wakil NGO dan ahli parlimen sedang berucap ditengah-tengah peserta perhimpunan.
Tidak lama kemudian, sayup-sayup dari jauh laungan Reformasi bergema seakan guruh. Kibaran bendera PKR membiru di ufuk jalan. Hati saya bergetar lagi dengan gerombolan besar yang mara seakan tsunami. Getaran padu kian hampir.

Bersambung.

3 comments:

Mie said...

Sorry ye, biasanya provokasi datang dari pihak pendemo, bukan polis...

Kata nak berhimpun di Stadium, tapi masih lagi jadi pendemo jalanan yang menyusahkan orang ramai... huh

zatulbazamahyusof said...

Bagi kami dan terutama sya yg melalui semua pengalaman ni,demo kali ni paling aman tanpa campur tgn polis ok!tak de provokasi,lain sgt dri sebelum sebelum ni.

Wan said...

MasyaAllah.. Best bunyi 'ust' shidan.. Allahx3..

Muzium

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...