Tuesday, October 6, 2009

Journal Mesir : Ramadhan bahagian 1

Assalamualaikum wth,

Saya sangat seronok apabila membaca blog-blog favourite hebat dengan kisah Hari Raya mereka. Kisah balik kampung, pasang pelita di malam tujuh likur, ketupat dan kuah kacang, berbusana tradisional serba indah, berkumpul bersama ibu dan ayah, sanak saudara, kaum keluarga serta rumah terbuka antara elemen Aidilfitri paling banyak dicatatkan. Saya tumpang gembira membaca kisah anda. Paling tidak, anda benar-benar menghiburkan hati saya yang berada jauh dari keluarga dan tanah air. Terima kasih kerana menghidupkan kembali kenangan indah saya beberapa tahun kebelakangan ketika saya berada di Malaysia. Saya berdoa dan harapkan anda sekeluarga senantiasa dirahmati Allah SWT. Ameen.

.........

Pada tahun ini, Mesir adalah lokasi saya berhari raya setelah tiga kali menyambutnya di Maghribi. Kali keempat di luar tanah air, Malaysia. Sambutan eidulfitri di sini agak meriah. Boleh saya katakan seperti berada di Malaysia. 80 peratus persamaannya. Masyarakat Arab seperti kebiasaan. Tidaklah semeriah komuniti nusantara yang menyambut 1 Syawal penuh dengan makanan tradisi yang enak-enak, berpakaian serba tradisional dan cantik. Kemeriahan masyarakat Arab hanyalah pada bulan Ramadhan sahaja. Masjid mereka sukar dilihat kosong ketika itu. Pesta ibadah seolah-olah diraikan dengan sepenuh hati. Dan ketika inilah apabila anda berada di Mesir atau rantau Arab dapat melihat suasana yang jarang dapat disaksikan di tempat lain di Malaysia. Malamnya begitu hidup. Lampu neon dipasang di segenap ceruk dan rumah. Fannus, tanglung tradisi arab digantung sepanjang bulan penuh kemuliaan ini. Hati saya begitu gembira melihat suasana sebegitu. Seakan-akan malam bercahya disuluh dengan rahmat kiriman Arasy. Sayu. Juga menenangkan jiwa. Melenyapkan keriuhan dan kekalutan Arab yang penuh kekusutan pada siangnya.

Murad menunjukkan rekaan Fannus yang pelbagai saiz dan bentuk yang dijualnya di tepi sebatang jalanraya di pinggir bandar Kaherah, Mesir. Jualan Fannus mendapat sambutan yang menggalakkan ketika bulan Ramadhan Al-Mubarak mula menjengah.
Photo by : Syahidd/Reuters


Seorang lelaki berbangsa Arab melintasi tanglung Fannus di wilayah Tanta, Mesir. Fannus adalah sejenis tanglung tradisi masyarakat Arab digantung secara meluas di Mesir ketika menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Photo by : Syahidd/Reuters


Tiga hari sebelum Aidilfitri menjelang, saya ke wilayah Tanta. Kawasan perkampungan. Mengikut Abang Saiful, seorang senior saya di Maahad Ahmadi NS dahulu yang baru sahaja menamatkan pengajian ijazah beliau pada bulan Julai lepas. Tremco atau van yang dijadikan pengangkuatan awam utama di Mesir menjadi pilihan saya untuk kesana. Apa yang pasti, nyawa seperti ditinggalkan jauh dari jasad. Saya pasti pemandu itu tidak pernah mengerti perkataan laju dan maut. Apabila disana, saya bertemu dengan rakan blog yang saya kenali. Ustaz Munawwar, kenalan blog yang saya kenali sejak setahun yang lalu. Mahasiswa Al-Azhar tahun tiga di Tanta. Sebelum ini pernah berbual melalui telefon, namun tak berkesempatan bertemu mata. Pertama kali bertemu apabila saya minta beliau hadir sama di Maidaturrahman, hidangan berbuka puasa yang diberi secara percuma kepada pelajar2 Asia mahupun masyarakat Arab di Mesir. Ianya dibuka sepanjang Ramadhan. Memang save bajet jika setiap hari berbuka disini. Memandangkan saya di Tanta, kami bersetuju untuk bertemu disalah satu tempat yang menyediakan Maidaturrahman di sana. Kami bertemu setelah sama-sama teka meneka berdasarkan gambar yang pernah dilihat dalam blog kerana tidak pernah bersua. Beliau seorang peramah dan membuatkan saya tidak berasa kekok apabila berbual-bual. Saya berjanji untuk bertemu lagi di Kaherah apabila Hari Raya nanti.

Munawwar Abdul Rahman, seorang mahasiswa jurusan Syariah Islamiyyah tahun tiga, Universiti Al-Azhar cawangan Tanta sedang berbual mesra bersama sahabat-handai setelah selesai menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dataran Malaysia, Kaherah. 1 Syawal disambut secara serentak oleh umat Islam diseluruh dunia pada 20 September 2009 yang lalu.
Photo by : Syahidd/Reuters



Di Tanta juga saya bersama 5 pelajar lain diundang untuk berbuka puasa dengan seorang kenalan Abang Saiful yang berbangsa Arab berbuka puasa di rumah beliau. Mahmood, pemuda Arab lepasan ijazah Farmatikel yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat Master, tinggal bersama ayah beliau yang juga seorang peguam, ibunya dan seorang adik perempuan beliau. Kali pertama saya merasai keenakan nasi seakan beriyani berlaukkan ayam panggang, Kufta, sejenis daging kisar berempah yang digoreng, sup Parsley yang agak likat dan sedikit harum, kentang panggang yang lazat dan sejenis acar terung ungu yang sangat enak. Sehinggakan setelah perut saya penuh dengan nasi dan ayam panggang, saya tidak berhenti mengunyah acar terung itu bersama roti Nan Arab. Dan saya berkata kepada mahmood, "Haza ahla tto'am hona, wallah!" ("Ini makanan paling enak di sini, betul!) . Beliau tersenyum bangga. Dan setelah 'melantak' makanan yang sangat banyak tadi, kami dihidangkan pula dengan sejenis manisan tradisi Arab, Kunafah. Sebenarnya saya amat menggemari manisan ini sejak kali pertama merasai keenakannya pada 2006 dahulu. Manisan ini tidak terdapat di Maghribi. Akan saya ceritakan pada entri lain, Insyaallah. Sebelum pulang ke rumah, Mahmood sempat meminta ibunya membekalkan acar terung itu buat SAYA! Saya tersipu-sipu malu sambil mengambil bungkusan itu. Ahh..janji dapat, getus naluri tidak tahu malu saya. Namun sehingga kini saya agak menyesal kerana terlupa untuk membawa kamera. Pengalaman yang saya kira pengalaman pertama dan terakhir menjamu selera di rumah masyarakat Arab Mesir. Pada pagi esoknya, saya, Abang saiful dan 2 orang sahabat dari Morocco, Aizat dan Munzir bertolak semula ke Kaherah untuk menyambut Syawal di sana. Nantikan laporan seterusnya. Maassalamah.

Muzium

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...